everyone had a good n bad time... a story about our feeling is necessary when we are down... i must not be shy to share wit all of u...
Huraian bagi post yg lepas... :)

Dengan berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPN) dan mengekalkan prinsip KBSR, penambahbaikan telah dilakukan pada aspek reka bentuk, organisasi, pedagogi, penegasan kurikulum, peruntukan masa dan pengurusan kurikulum untuk membentuk KSSR.  Terdapat 7 perbezaan antara KBSR dan KSSR iaitu dari aspek reka bentuk kurikulum, organisasi, kandungan, pedagogi, peruntukan masa, kaedah pentaksiran, bahan dan pengurusan kurikulum.

Perbezaan pertama adalah dari segi reka bentuk kurikulum. Reka bentuk KBSR adalah berasaskan tiga bidang iaitu komunikasi, manusia dan alam sekeliling serta perkembang diri individu.  Di dalam  reka bentuk komunikasi KBSR, terkandung kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M). Kemahiran ini merupakan tunggak utama pendidikan asas di peringkat sekolah rendah. Antara matapelajaran yang tergolong dalam bidang ini termasuk, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris,Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan Matematik. Kesemua mata pelajaran ini diajar pada tahap 1 dan tahap 2.

Seterusnya, bidang yang kedua iaitu manusia dan alam sekeliling yang mana mengandungi komponen kerohanian, nilai dan sikap. Matapelajaran yang terkandung dalam bidang manusia dan alam sekeliling ini ialah Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sains dan Kajian Tempatan. Seterusnya, bidang yang ketiga dalam KBSR ialah perkembangan diri individu. Komponen yang terkandung dalam bidang ini ialah komponen kemahiran hidup, kesenian dan kesihatan. Hal ini bertujuan untuk meningkatkan lagi kemahiran dalam aspek kemahiran hidup seperti bertukang dan penghayatan keseniaan serta kesihatan.
Namun, setelah pembaharuan dilakukan, berdasarkan reka bentuk kurikulum transformasi KSSR pula dilihat terdapat enam tunjang iaitu tunjang komunikasi, perkembangan fizikal dan estetika, kemanusiaan, keterampilan diri, sains dan teknologi, serta tunjang kerohanian sikap dan nilai. Kesemua tunjang ini membawa kepada perkembangan individu yang seimbang dengan pemikiran kreatif dan kritis serta mempunyai pemikiran inovasi yang tinggi. Jika kita lihat di dalam KSSR, reka bantuk yang digunakan lebih terperinci dan jelas berbanding dengan KBSR.

Dalam tunjang yang pertama iaitu tunjang komunikasi memberi penekanan kepada proses menggabung jalinkan kemahiran berbahasa semasa berinteraksi sama ada berlaku dalam bentuk lisan dan juga bukan lisan dalam bahasa Malaysia, Inggeris, Cina atau Tamil semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui tunjang komunikasi ini murid didedahkan dengan kemahiran berbahasa seperti mendengar, membaca dan menulis selain nilai tambah kemahiran menaakul (4M).

Tunjang kerohanian, sikap dan nilai iaitu tunjang yang kedua pula menekankan aspek kerohanian, sikap dan nilai. Bidang pembelajaran ini berfokus kepada pengamalan ilmu agama dan kepercayaan, sikap dan nilai. Maka, matapelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral menjadi matapelajaran yang utama bagi tunjang ini.
Tunjang ketiga iaitu tunjang kemanusiaan. Ia dibina sejajar dengan keperluan pendidikan di Malaysia yang bertanggungjawab menyediakan individu yang bukan hanya memahami, malah menghayati dan mengamalkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai berkaitan kemasyarakatan dan alam sekitar setempat, negara dan global. Selain itu memupuk semangat patriotism serta pepaduan dalam diri pelajar. Subjek yang terlibat secara langsung ialah subjek Sains Sosial seperti Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, Sejarah, Geografi dan unsur-unsur Pendidikan Alam Sekitar.

Seterusnya, Tunjang Ketrampilan Diri yang menjurus kepada salah satu agenda pembangunan modal insan iaitu pembentukan individu yang mempunyai keperibadian dan berketrampilan. Melalui tunjang ini pemupukan sifat kepimpinan serta sahsiah diri setiap pelajar dapat dicapai melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang dirancang dengan rapi.
Tunjang Fizikal dan Estetika pula merupakan tunjang yang mendukung hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan inteleknya (JERI). Kesihatan jasmani murid menjamin perkembangan tubuh badan yang sihat dan cerdas. Potensi estetika merujuk kepada pemupukan kreativiti, dan apresiasi pelajar yang dapat digunakan dalam melahirkan ekspresi diri melalui daya imaginasi mereka. Kreativiti, dan apresiasi dapat dipupuk melalui amalan dan latihan dalam bidang ilmu kesenian terutamanya pendidikan seni visual dan muzik.

Akhir sekali, reka bentuk tunjang Sains dan Teknologi adalah bertujuan memenuhi keperluan perkembangan komunikasi teknologi maklumat yang mana ia menuntut supaya modal insan yang dibangunkan perlu dilengkapi dengan ilmu, kemahiran dan nilai berteraskan sains dan teknologi. Tunjang ini menunjukkan perbezaan utama antara KBSR dan KSSR dimana KBSR tidak begitu menekankan bidang teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran.

Dari segi perbezaan organisasi kandungan, KBSR adalah berdasarkan semua matapelajaran dan tidak dibahagikan kepada tahap 1 dan 2 dan dilaksanakan selaras dengan semua matapelajaran. Tidak seperti KBSR, organisasi kurikulum dalam KSSR telah diperhabarui dengan penambahbaikan di mana organisasi kurikulum KSSR dibahagi-bahagi kepada dua tahap iaitu tahap 1 (tahun 1 hingga 3) dan tahap 2 (tahun 4 hingga 6). Di dalam organisasi kurikulum tahap 1, modul yang diajarkan ialah berdasarkan Modul Teras Asas, Modul Teras Tema, dan Modul Elektif. Dalam tahap 2 pula, modul yang diajarkan adalah berdasarkan 6 tunjang dalam KSSR iaitu Modul Komunikasi, Modul Komunikasi Elektif, Modul Kerohanian, Sikap dan Nilai, Modul Fizikal dan Estetika, Modul Sains dan Teknologi, Modul Kemanusiaan.

            Perbezaan ketiga iaitu dari segi kandungan, didapati bahawa berlaku perubahan  kandungan kepada semua mata pelajaran yang diajarkan semasa KBSR di dalam kurikulum KSSR yang baharu ini. Terdapat  perubahan  berlaku  pada  semua mata  pelajaran.  Pendidikan  seks  diajar menerusi Pendidikan Kesihatan di bawah Modul Teras Asas bagi tahap satu. Selain daripada  itu, mata pelajaran Matematik turut mengalami perubahan. Jika pada peringkat  KBSR  konsep  3M  (membaca,  menulis,  mengira)  ditekankan,  namun  pada pelaksanaan  KSSR,  konsep  4M  ditekankan  (membaca,  menulis,  mengira,  menaakul). Menaakul juga dikategorikan dalam kebolehan menganalisis sesuatu maklumat. Kemahiran ini juga penting dalam kehidupan seharian untuk membaca situasi yang berlaku di sekeliling kita dan bersedia untuk melakukan perubahan-perubahan yang diperlukan dalam masyarakat.  Penaakulan berupaya mengembangkan kapasiti pemikiran logikal dan dan kapasiti pemikiran kritis.

Seterusnya perbezaan keempat yang jelas dapat dilihat antara KBSR dan KSSR ialah dari aspek pentaksiran. Pentaksiran boleh didefinisikan sebagai proses pengumpulan data dengan tujuan untuk mengenal pasti dan mengesan masalah pelajar serta untuk membuat keputusan. Di dalam KBSR, pentaksiran yang digunakan diberi penekanan kepada penilaian sumatif. Contoh penilaian sumatif dalam KBSR ialah Penilaian Kemajuan Berasakan Sekolah (PKBS). seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dikendalikan oleh Lembaga peperiksaan untuk menguji pencapaian murid. PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah. PBS dirancang, ditadbir, diskor, direkod dan dilaporkan secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan.
Bagi menangani kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam pentaksiran KBSR, maka pembaharuan lain diperkenalkan dalam sistem pentaksiran KSSR adalah Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) dengan matlamat mengurangkan tekanan peperiksaan awam, memperkukuh Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), memperbaiki pembelajaran murid, pentaksiran holistik dan berterusan serta membina modal insan dengan lebih berkesan. Pentaksiran yang digunakan di dalam KSSR dijalankan secara berterusan untuk mengesan perkembangan dan pencapaian murid dalam pembelajaran, menggunakan kaedah pentaksiran pelbagai serta bersifat autentik dan holistik. Selain itu modul pengajaran dan pembelajaran pula mengandungi cadangan aktiviti pemulihan dan pengayaan bagi memudahkan proses pentaksiran.

Akan tetapi, terdapat beberapa aspek dalam KSSR masih lagi mengekalkan aspek yang digunakan dalam KBSR. Antara persamaan KBSR dan KSSR dapat dilihat adalah dari aspek pedagogi. Pedagogi yang ditekankan di dalam KBSR dan KSSR mempunyai persamaan iaitu kemahiran berfikir dalam P&P, aplikasi kecerdasan pelbagai dalam P&P, penggunaan TMK, pengajaran berasaskan kajian masa depan, pembelajaran secara konstruktivisme, pembelajaran secara kontekstual, pembelajaran akses kendiri, pembelajaran masteri dan belajar cara belajar.

Seterusnya, persamaan lain antara KBSR dan KSSR ialah dari aspek peruntukan masa. Berlaku perubahan pada peruntukan masa kepada beberapa matapelajaran khususnya Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris pada kedua-dua kurikulum tersebut. Bahasa Melayu diperuntukan sebanyak 360 minit seminggu manakala Bahasa Inggeris pula 300 minit seminggu. Masa yang diperuntukan untuk pelaksanaan KBSR iaitu selama 1350 minit juga bertambah kepada 1380 minit seminggu dalam KSSR (satu waktu pengajaran dan pembelajaran ialah 30 minit). Selain itu, pihak sekolah juga dikehendaki memilih sekurang-kurangnya satu bahasa dalam Modul Elektif mengikut kesediaan sekolah dalam aspek guru, murid serta prasarana sekolah.

Perbezaan KBSR dan KSSR


1. Reka Bentuk

    KBSR

  • Komunikasi
  • Manusia dengan alam sekelilingnya
  • Perkembangan diri individu
    KSSR


  • Komunikasi
  • Kerohanian, sikap dan nilai
  • Kemanusian
  • Keterampilan diri
  • perkembangan fizikal dan estetik
  • Sains dan teknologi


2. Organisasi

    KBSR

  • Berasaskan mata pelajaran

    KSSR

  • Tahap I
    • Modul Teras Asas
    • Modul Teras Tema
    • Modul Elektif


  • Tahap II
    • Modul Komunikasi
    • Modul Komunikasi Elektif
    • Modul Kerohanian, Sikap dan Nilai
    • Modul Fizikal dan Estetika
    • Modul Sains dan Teknologi
    • Modul Kemanusiaan


3. Kandungan


  • Berlaku perubahan kepada SEMUA mata pelajaran


4. Pedagogi

    KBSR

  • Kemahiran berfikir dalam P&P
  • Aplikasi kecerdasan pelbagai dalam P&P
  • Penggunaan TMK (teknologi maklumat dan komunikasi
  • Pengajaran berasaskan kajian masa depan
  • Pembelajaran secara konstruktivisme
  • Pembelajaran secara kontekstual
  • pembelajaran akses kendiri
  • Pembelajaran masteri
  • Belajar cara belajar


    KSSR

  • Penegasan dan penekanan kepada pendekatan berikut:
    • Kemahiran berfikir dalam P&P
    • Alpikasi kecerdasan dalam P&P
    • Penggunaan TMK
    • Pengajaran berasaskan kajian masa depan
    • pembelajaran secara konstruktivisme
    • Pembelajaran secara kontekstual
    • Pembelajaran akses kendiri
    • Pembelajaran masteri 
    • Belajar cara belajar



5. Kaedah Pentaksiran

    KBSR

  • Penekanan yang ketara kepada pentaksiran sumatif

    KSSR


  • Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK)
  • Dijalankan secara berterusan untuk mengesan perkembangan dan pencapaian murid dalam pembelajaran
  • Menggunakan kaedah pentaksiran pelbagai
  • Bersifat autentik dan holistic

6. Pengurursan Kurikulum



  • Semua perubahan dalam aspek-aspek di atas menyebabkan berlaku perubahan kepada pengurusan kurikulum di pelbagai peringkat.

7. Peruntukan Masa



  • Berlaku perubahan pada peruntukan masa kepada beberapa mata pelajaran khususnya Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.


Hurainya nntie dipost... :)